Sirakh 22:1-2-19 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1-2. Seorang pemalas sama dengan kotoran; dia menjijikkan dan tidak ada yang mahu mendekatinya.

3. Apabila mempunyai anak yang tidak terdidik, hal itu memalukan seorang bapa, dan kelahiran seorang anak perempuan merupakan suatu kerugian.

4. Seorang gadis yang berbudi akan mendapat suami, tetapi seorang gadis yang tidak tahu malu menyusahkan bapanya.

5. Seorang wanita yang kurang ajar memalukan bapanya dan suaminya, dan tidak dihargai oleh kedua-duanya.

6. Kemarahan pada saat yang tidak tepat sama dengan bermain muzik bagi orang yang sedang berkabung. Mendidik dengan pukulan selalu merupakan tindakan yang bijaksana.

9. Mengajar orang bodoh sama dengan melekat kembali periuk yang pecah atau membangunkan orang daripada tidur nyenyak.

10. Menerangkan sesuatu kepada orang bodoh sama dengan bercakap kepada seorang yang mengantuk. Akhirnya dia akan bertanya, “Ada apa?”

11. Tangisilah orang mati kerana mereka tidak lagi melihat terang; tangisilah orang bodoh kerana mereka kurang berakal. Tidak perlu terlalu bersedih kerana orang mati oleh sebab mereka sudah mendapat ketenteraman. Tetapi hidup orang bodoh lebih buruk daripada kematian.

12. Orang berkabung selama tujuh hari bagi orang mati. Tetapi orang berkabung seumur hidup bagi orang bodoh dan orang jahat.

13. Jangan kunjungi orang bodoh dan jangan bercakap lama-lama dengan mereka. Berhati-hatilah terhadap mereka dan jangan sampai engkau disusahkan dan dicemarkan oleh mereka. Jauhilah mereka, maka engkau mendapat ketenteraman dan tidak diganggu oleh kebebalan mereka.

14. Orang seperti itu merupakan beban yang lebih berat daripada timah hitam. Julukan yang tepat baginya ialah “si tolol”.

15. Lebih mudah memikul pasir, garam, dan besi daripada bergaul dengan orang bodoh.

16. Alang yang dipasang dengan kukuh dalam bangunan, tidak dapat digoyahkan oleh gempa bumi. Begitu juga orang yang bersandar pada fikiran yang matang tidak akan bimbang dalam keadaan yang genting sekalipun.

17. Fikiran yang didasarkan atas akal yang sihat seperti hiasan turap pada dinding yang rata.

18. Batu-batu kecil yang diletakkan di atas tembok tidak bertahan kalau ditiup angin. Begitu juga orang yang takut kerana fikiran yang bodoh tidak bertahan dalam keadaan yang mengerikan.

19. Kalau mata disentuh keluarlah air mata, dan kalau hati disentuh timbullah perasaannya.

Sirakh 22