Sirakh 22:10-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

10. Menerangkan sesuatu kepada orang bodoh sama dengan bercakap kepada seorang yang mengantuk. Akhirnya dia akan bertanya, “Ada apa?”

11. Tangisilah orang mati kerana mereka tidak lagi melihat terang; tangisilah orang bodoh kerana mereka kurang berakal. Tidak perlu terlalu bersedih kerana orang mati oleh sebab mereka sudah mendapat ketenteraman. Tetapi hidup orang bodoh lebih buruk daripada kematian.

12. Orang berkabung selama tujuh hari bagi orang mati. Tetapi orang berkabung seumur hidup bagi orang bodoh dan orang jahat.

13. Jangan kunjungi orang bodoh dan jangan bercakap lama-lama dengan mereka. Berhati-hatilah terhadap mereka dan jangan sampai engkau disusahkan dan dicemarkan oleh mereka. Jauhilah mereka, maka engkau mendapat ketenteraman dan tidak diganggu oleh kebebalan mereka.

14. Orang seperti itu merupakan beban yang lebih berat daripada timah hitam. Julukan yang tepat baginya ialah “si tolol”.

15. Lebih mudah memikul pasir, garam, dan besi daripada bergaul dengan orang bodoh.

16. Alang yang dipasang dengan kukuh dalam bangunan, tidak dapat digoyahkan oleh gempa bumi. Begitu juga orang yang bersandar pada fikiran yang matang tidak akan bimbang dalam keadaan yang genting sekalipun.

17. Fikiran yang didasarkan atas akal yang sihat seperti hiasan turap pada dinding yang rata.

18. Batu-batu kecil yang diletakkan di atas tembok tidak bertahan kalau ditiup angin. Begitu juga orang yang takut kerana fikiran yang bodoh tidak bertahan dalam keadaan yang mengerikan.

19. Kalau mata disentuh keluarlah air mata, dan kalau hati disentuh timbullah perasaannya.

20. Orang yang melemparkan batu kepada burung menghalaunya; orang yang mencela kawan memutuskan persahabatan.

21-22. Jika engkau bertengkar atau berkelahi dengan kawanmu, jangan putus asa. Engkau masih dapat berdamai dengan dia. Tetapi setiap kawan akan lari jika engkau mencaci dia, bersikap bongkak, membuka rahsianya atau mengkhianatinya.

23. Jadilah orang kepercayaan jiranmu pada waktu dia miskin, maka engkau dapat bergembira bersama dia pada waktu dia makmur. Dampingilah dia dalam kesusahan, maka engkau mendapat bahagian dalam warisannya.

24. Seperti wap dan asap mendahului api, begitu juga penghinaan mendahului penumpahan darah.

25. Aku tidak malu melindungi kawan dan tidak akan bersembunyi kalau dia memerlukan bantuanku.

26. Tetapi kalau aku ditimpa kemalangan kerana dia, setiap orang yang mendengarnya akan berwaspada terhadapnya.

Sirakh 22