Sirakh 21:4-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

4. Kezaliman dan keganasan dapat memusnahkan harta kekayaan. Begitu juga rumah orang bongkak akan hancur.

5. Allah mendengarkan doa orang miskin dan segera memberi keadilan kepada mereka.

6. Orang yang tidak mahu menerima teguran, mengikuti jejak orang yang berdosa. Tetapi orang yang takut kepada Tuhan bertaubat dalam hati.

7. Orang yang bermulut besar terkenal di mana-mana, tetapi seorang yang arif sedar apabila dia berbuat salah.

8. Seorang yang meminjam wang untuk membina rumahnya, sama dengan seorang yang mengumpulkan batu untuk kuburannya.

9. Kumpulan orang jahat seumpama timbunan kayu bakar; akhirnya mereka akan musnah ditelan api.

10. Jalan yang ditempuh orang yang berdosa halus dan rata, tetapi jalan itu menuju ke dunia orang mati.

11. Seorang yang mematuhi Taurat dapat menguasai fikirannya. Orang yang bijaksana ialah orang yang takut kepada Tuhan dalam segala hal.

12. Hanya orang pintar dapat dididik, tetapi ada juga kepintaran yang hanya mendatangkan kepahitan.

13. Pengetahuan orang bijaksana seperti banjir yang meluap. Nasihat mereka terus mengalir seperti mata air yang hidup.

14. Sebaliknya fikiran orang bodoh seperti tempayan retak; apa sahaja yang dipelajari mereka segera hilang.

15. Apabila seorang terpelajar mendengar kata-kata bijaksana, dia memberi pujian dan mendapat gagasan lain. Tetapi kalau orang yang kurang berfikir mendengarnya, dia tidak senang dan menolaknya.

16. Mendengar bualan orang bodoh, samalah dengan memikul beban berat di perjalanan, tetapi mendengar kata-kata orang arif merupakan kenikmatan.

17. Kata-kata orang arif dialu-alukan oleh jemaah dan direnungkan di dalam hati.

18. Bagi orang bodoh, kebijaksanaan tidak berguna seperti rumah yang sudah hancur. Pengetahuan orang bodoh merupakan kata-kata yang tidak difahami oleh mereka sendiri.

Sirakh 21