1. Jika engkau telah berdosa, hai anakku, janganlah berdosa lagi, tetapi berdoalah supaya dosamu diampunkan.
2. Jauhilah dosa seperti menjauhi ular. Jika engkau mendekatinya, pasti engkau dipatuknya. Giginya seperti gigi singa yang merenggut nyawa manusia.
3. Setiap pelanggaran hukum meninggalkan luka yang tidak dapat disembuhkan, seperti tusukan pedang bermata dua.
4. Kezaliman dan keganasan dapat memusnahkan harta kekayaan. Begitu juga rumah orang bongkak akan hancur.
5. Allah mendengarkan doa orang miskin dan segera memberi keadilan kepada mereka.
6. Orang yang tidak mahu menerima teguran, mengikuti jejak orang yang berdosa. Tetapi orang yang takut kepada Tuhan bertaubat dalam hati.
7. Orang yang bermulut besar terkenal di mana-mana, tetapi seorang yang arif sedar apabila dia berbuat salah.
8. Seorang yang meminjam wang untuk membina rumahnya, sama dengan seorang yang mengumpulkan batu untuk kuburannya.
9. Kumpulan orang jahat seumpama timbunan kayu bakar; akhirnya mereka akan musnah ditelan api.
10. Jalan yang ditempuh orang yang berdosa halus dan rata, tetapi jalan itu menuju ke dunia orang mati.
11. Seorang yang mematuhi Taurat dapat menguasai fikirannya. Orang yang bijaksana ialah orang yang takut kepada Tuhan dalam segala hal.