Sirakh 20:12-27 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Kadang-kadang sesuatu yang dibeli dengan harga murah, ternyata dibayar jauh terlalu mahal.

13. Kalau orang bijaksana bercakap, mereka mendapat banyak sahabat. Tetapi kalau orang bodoh bercakap ramah, hal itu sia-sia sahaja.

14. Pemberian seorang bodoh tidak berguna bagimu, oleh sebab dia mengharapkan banyak balasan.

15. Dia memberi sedikit tetapi banyak mencela, dan dia bercakap kuat supaya didengar semua orang. Hari ini dia memberi pinjaman dan pada esoknya dia memintanya kembali. Orang seperti itu patut dibenci.

16. Orang bodoh berkata, “Aku tidak mempunyai sahabat. Tidak ada yang berterima kasih terhadap amalku. Mereka mahu menerima pemberianku, tetapi di belakangku mereka membusukkan namaku.”

17. Orang sebodoh itu terus-menerus menjadi ejekan orang.

18. Lebih baik jatuh kerana salah langkah daripada jatuh kerana salah cakap. Kejatuhan orang jahat sama seperti orang yang jatuh tergelincir.

19. Orang yang tidak tahu adat bagaikan cerita tidak sesuai yang diulang-ulang oleh orang bodoh.

20. Peribahasa yang diucapkan orang bodoh tidak akan diterima, oleh sebab diucapkan pada saat yang tidak tepat.

21. Ada orang yang terhindar daripada dosa kerana terlalu miskin. Dia dapat berehat tanpa diganggu oleh suara batinnya.

22. Ada orang yang kehilangan harga diri kerana berasa segan untuk bercakap di hadapan orang bodoh.

23. Ada orang malu menepati janji-janji yang dibuat kepada kawan, dan tidak seharusnya kawan itu dijadikannya lawan.

24. Dusta merupakan noda yang buruk pada seseorang; orang yang kurang ajar berdusta terus-menerus.

25. Seorang pencuri lebih baik daripada seorang pendusta, tetapi kedua-duanya menuju kebinasaan.

26. Kebiasaan membohong adalah sesuatu yang memalukan, dan rasa malunya tidak akan lenyap.

27. Orang yang bijak bercakap akan maju, dan orang arif disukai para pembesar.

Sirakh 20