Sirakh 19:1-12 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Seorang buruh yang pemabuk tidak akan menjadi kaya, dan orang yang tidak menghargai hal kecil, lambat-laun jatuh miskin.

2. Minuman keras dan perempuan menyesatkan orang bijaksana, dan orang yang bergaul dengan pelacur menjadi semakin kurang berhati-hati.

3. Akhirnya sikap yang kurang berhati-hati membawa mereka kepada maut dan badan mereka yang membusuk menjadi makanan cacing.

4. Bodohlah orang yang terlalu cepat percaya kepada orang lain. Orang yang berdosa merugikan diri sendiri.

5. Orang yang suka berbuat jahat akan dihukum.

6. Orang yang benci mengumpat terhindar daripada kesukaran.

7. Jangan sebarkan apa yang dikatakan kepada kamu, maka engkau tidak akan menyesal.

8. Jangan ceritakannya kepada kawan mahupun lawan, kecuali kalau dengan berdiam diri engkau berdosa.

9. Hal itu demikian kerana orang yang mendengar cakapan itu akan berhati-hati terhadap engkau, dan pada suatu saat akan membenci engkau.

10. Jika engkau mendengar khabar angin, simpanlah dalam hati sampai engkau mati. Jangan khuatir, engkau tidak akan meledak kerananya.

11. Orang bodoh yang mahu menyimpan rahsia menderita seperti seorang wanita yang sakit bersalin.

12. Suatu berita dalam hati orang bodoh seperti anak panah yang menancap di kaki mereka.

Sirakh 19