Sirakh 18:13-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

13. Manusia hanya dapat mengasihani sesama mereka, sedangkan Tuhan mengasihani seluruh umat manusia. Dia menegur, menertibkan, dan mengajar kita. Dia menuntun kita pulang kepada-Nya seperti gembala memelihara domba mereka.

14. Dia mengasihani kita apabila kita menerima bimbingan-Nya dan ingin menerima keputusan-Nya.

15. Anakku, jangan tolong orang sambil memarahi mereka. Kalau engkau berbuat amal, jangan disertai kata-kata yang menyakiti hati.

16. Kata-katamu seperti embun yang memberi kesejukan dalam panas terik dan lebih berharga daripada pemberian.

17. Kata-kata yang tepat lebih berharga daripada hadiah yang bagus. Tetapi orang yang dermawan memberi kedua-duanya.

18. Orang yang bodoh tidak memberi, malah mencaci maki. Pemberian yang disertai rasa marah tidak akan membuat orang senang.

19. Belajarlah sebelum bercakap dan jagalah kesihatanmu sebelum jatuh sakit.

20. Periksalah batinmu sebelum engkau diadili Tuhan, supaya apabila saat itu tiba engkau mendapat pengampunan.

21. Rendahkanlah dirimu sebelum engkau dihukum dengan penyakit. Apabila engkau berdosa, nyatakanlah bahawa engkau bertaubat.

22. Jika engkau membuat janji kepada Tuhan, penuhilah janji itu tepat pada waktunya dan jangan tundanya hingga engkau mati.

Sirakh 18