Sirakh 14:11-26-27 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. Anakku, sekadar kemampuanmu peliharalah dirimu dengan baik-baik, tetapi bawalah juga persembahan yang patut bagi Tuhan.

12. Ingatlah bahawa suatu hari engkau akan mati dan engkau tidak diberitahu bila saatnya.

13. Sebelum hari itu tiba hendaklah engkau berbuat baik kepada sahabat-sahabatmu, dan berilah mereka menurut kemampuanmu.

14. Jangan tolak kesenangan yang sekarang dan jangan kekang keinginan yang baik,

15. kerana nanti segala hasil kerjamu mesti kautinggalkan dan hasil jerih payahmu dibahagikan kepada orang lain.

16. Jadi hendaklah engkau memberi, menerima, dan bersenang-senang, oleh sebab di dunia orang mati tidak ada lagi yang dapat dinikmati.

17. Manusia menjadi usang seperti sepotong baju dan menurut ketetapan kekal, kita semua harus mati.

18. Seperti pada pokok yang rendang, ada daun yang luruh dan ada daun yang tumbuh, begitu juga pada bangsa manusia: yang satu mati, yang lain lahir.

19. Semua buatan manusia akan rosak dan binasa bersama-sama dengan pembuatnya.

20. Berbahagialah orang yang merenungkan kebijaksanaan dan menimbang-nimbang dengan akal mereka.

21. Orang yang memikirkan selok-belok kebijaksanaan juga menyelami rahsia-rahsianya.

22. Kejarlah kebijaksanaan seperti seorang pemburu dan adanglah kebijaksanaan di jalan-jalannya.

23. Intiplah melalui jendela-jendelanya dan dengarkanlah di pintunya.

24. Berkhemahlah sedekat mungkin dengan rumahnya,

25. maka engkau akan mempunyai kediaman yang baik.

26-27. Tempatkanlah anak-anakmu dalam perlindungannya. Hiduplah dengan aman dalam naungannya dan tinggallah dalam kemuliaannya, terlindung daripada panas matahari.

Sirakh 14