Sirakh 13:9-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Jika engkau diundang ke rumah seorang yang berkuasa, hendaklah engkau tahu diri. Maka engkau akan lebih sering diundang olehnya.

10. Jangan tonjolkan diri supaya engkau tidak ditolak, tetapi jangan pula terlalu menjauh, nanti engkau dilupakan.

11. Jangan anggap dirimu setara dengan orang yang berkuasa itu. Jangan pula percaya segala katanya, kerana dengan cakap banyak dia mahu menguji engkau dan dengan senyumnya dia memancing engkau.

12. Sungguh kejam orang yang tidak menyimpan rahsiamu; dia tidak segan melukai atau memenjara engkau.

13. Simpanlah rahsiamu di dalam hati dan waspadalah, oleh sebab engkau berjalan di kawasan yang berbahaya.

15. Setiap makhluk lebih menyukai jenisnya dan manusia menyukai sesama mereka.

16. Seperti binatang bergabung dengan jenisnya, begitu juga manusia bersahabat dengan orang yang seperti mereka.

17. Seperti serigala tidak dapat berkawan dengan anak domba, begitu juga orang yang berdosa tidak dapat bersahabat dengan orang yang salih.

18. Anjing hutan tidak dapat berdamai dengan anjing jinak; begitu juga orang kaya tidak dapat berdamai dengan orang miskin.

19. Keldai liar menjadi mangsa singa di padang rumput; begitu juga orang miskin menjadi mangsa orang kaya.

20. Kerendahan hati dianggap keji oleh orang bongkak; begitu juga orang miskin dianggap keji oleh orang kaya.

21. Apabila seorang kaya tersandung, dia ditopang oleh kawan-kawannya. Tetapi kalau seorang miskin jatuh, dia malah disepak oleh kawan-kawannya.

22. Kalau seorang kaya tersilap, banyak yang membela dia. Jika dia mengatakan yang bukan-bukan, kata-katanya dinyatakan benar. Tetapi kalau seorang miskin membuat kesilapan, dia hanya mendapat celaan. Bahkan kalau kata-katanya bijaksana, dia tidak diberi perhatian.

23. Kalau seorang kaya bercakap, semua orang diam dan perkataannya dipuji setinggi langit. Sebaliknya kalau seorang miskin bercakap, setiap orang bertanya, “Siapa dia?” Kalau dia gagap, dia dicemuh sehingga tidak dapat bercakap lagi.

24. Kekayaan itu baik, asal tidak diperoleh dengan cara yang berdosa. Tetapi kemiskinan dianggap buruk oleh orang jahat.

25. Isi hati manusia terpancar daripada muka yang sedih atau gembira.

26. Kalau hati bahagia, muka juga kelihatan gembira. Tetapi membuat peribahasa memerlukan usaha dan fikiran yang banyak.

Sirakh 13