12. Ada juga yang lambat bekerja dan tidak mampu melakukan tugas, yang miskin dan perlu ditolong. Tetapi Tuhan berkenan kepada mereka dan mengangkat mereka daripada kesusahan.
13. Tuhan meninggikan mereka sehingga semua orang kehairanan.
14. Semuanya berasal daripada Tuhan: baik dan buruk, kemiskinan dan kekayaan, hidup dan mati.
17. Orang yang bertakwa tetap menerima anugerah Tuhan. Kerelaan Tuhan membimbing mereka selama-lamanya.
18. Ada orang yang menjadi kaya kerana bekerja keras dan berhemat. Tetapi apa ganjarannya?
19. Dia berkata dalam hati, “Sekarang aku dapat berehat dan menikmati hasil jerih payahku.” Tetapi dia tidak tahu berapa lama lagi dia masih hidup sebelum dia mati dan harus meninggalkan hartanya bagi orang lain.
20. Jalankanlah tugasmu dengan setia dan hendaklah engkau tetap melakukan pekerjaanmu sehingga engkau tua.
21. Jangan cemburu dengan hasil pekerjaan orang yang berdosa. Lakukanlah tugasmu dengan setia dan percayalah kepada Tuhan. Hal itu demikian kerana Tuhan dengan mudah membuat orang miskin menjadi kaya dengan tiba-tiba.
22. Orang yang bertakwa menerima berkat Allah sebagai ganjaran, dan dalam sekejap mata Tuhan dapat membuat berkat mereka berkembang.
23. Jangan bertanya: Apa yang masih kuperlukan dan apa yang belum kumiliki?
24. Jangan pula berfikir bahawa engkau sudah berkecukupan dan tidak akan ditimpa bencana pada kemudian hari.
25. Pada waktu makmur orang lupa kesusahan mereka, dan pada waktu susah orang lupa kemakmuran mereka.
26. Tentu mudah bagi Tuhan membalas manusia sesuai dengan perbuatan mereka pada hari terakhir mereka.
27. Pada saat itu semua perbuatan mereka tersingkap, dan satu jam kesusahan membuat mereka lupa akan segala kemewahan.
28. Jadi jangan anggap kehidupan seseorang itu berbahagia sebelum dia meninggal, kerana keperibadian manusia dikenali pada saat dia meninggal.
29. Jangan jemput setiap orang ke rumahmu, oleh sebab seorang yang cerdik banyak tipu muslihatnya.
30. Hati seorang yang bongkak seperti ayam hutan pemikat di dalam kurungan, atau seperti seorang pengintip yang menonton kejatuhanmu.
31. Dia menunggu kesempatan untuk memutarbalikkan yang baik menjadi jahat, dan untuk mencela perbuatan yang baik.
32. Sepercik bunga api dapat menyalakan arang, dan orang yang berdosa menunggu kesempatan untuk membunuh.
33. Waspadalah terhadap orang jahat kerana mereka merancangkan yang buruk-buruk; jangan sampai mereka memburukkan namamu untuk selama-lamanya.