1. Oleh sebab kebijaksanaannya, seseorang yang miskin dapat berasa bangga, dan dia akan mendapat tempat di kalangan orang besar.
2. Jangan puji orang kerana mereka tampan dan jangan hina orang kerana mereka tidak rupawan.
3. Lebah adalah binatang yang paling kecil antara binatang bersayap, tetapi madu yang dibuatnya adalah yang paling manis.
4. Jangan banggakan pakaian yang bagus dan jangan jadi sombong apabila engkau dipuji. Hal itu demikian kerana pekerjaan Tuhan itu ajaib dan tersembunyi bagi manusia.
5. Banyak raja akhirnya harus duduk di lantai, sedangkan orang yang sebelumnya tidak terkenal, dimahkotai.
6. Banyak penguasa menjadi sangat terhina, dan banyak orang yang terhormat jatuh ke tangan orang asing.
7. Jangan mencela sebelum menyelidik dan jangan menegur sebelum berfikir.
8. Jangan menjawab sebelum mendengarkannya dan jangan menyampuk percakapan orang.
9. Jangan bertengkar tentang perkara yang bukan urusanmu dan jangan terlibat dalam sengketa orang yang berdosa.
10. Anakku, jangan sibukkan diri dengan terlalu banyak urusan. Kalau pekerjaanmu terlalu banyak, pasti engkau akan terseksa. Engkau tidak dapat menyelesaikannya, tetapi tidak dapat juga melepaskannya.
11. Ada yang berjerih payah dan bekerja keras dengan memburu waktu, tetapi semakin berkekurangan.
12. Ada juga yang lambat bekerja dan tidak mampu melakukan tugas, yang miskin dan perlu ditolong. Tetapi Tuhan berkenan kepada mereka dan mengangkat mereka daripada kesusahan.
13. Tuhan meninggikan mereka sehingga semua orang kehairanan.
14. Semuanya berasal daripada Tuhan: baik dan buruk, kemiskinan dan kekayaan, hidup dan mati.