20. Tetapi saudaraku, siapakah kamu sehingga berani menyoal Allah? Bolehkah periuk tanah bertanya kepada yang membuatnya, “Mengapa aku dibuat begini?”
21. Bukankah orang yang membuat periuk berhak menggunakan tanah liat itu sekehendak hatinya? Dengan segumpal tanah liat, dia boleh membuat dua buah periuk: yang satu untuk kegunaan khas dan yang satu lagi untuk kegunaan sehari-hari.
22. Begitu juga halnya dengan apa yang dilakukan oleh Allah. Dia ingin menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya. Tetapi Allah sangat sabar terhadap mereka yang menjadi sasaran kemurkaan-Nya, iaitu mereka yang akan dimusnahkan.
23. Allah juga ingin menyatakan kebahagiaan berlimpah-limpah, yang dicurahkan-Nya kepada kita yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya. Kita sudah disiapkan oleh-Nya untuk menerima kebahagiaan itu.
24. Kita ini orang yang sudah dipanggil-Nya, dan kita terdiri daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi.
25. Di dalam kitab Nabi Hosea, Allah berfirman,“Orang yang bukan umat-Ku,akan Aku sebut ‘Umat-Ku.’Bangsa yang tidak Aku kasihi,akan Aku sebut ‘Kekasih-Ku.’
26. Di tempat Allah berfirman, ‘Kamu bukan umat-Ku,’di situ juga mereka akan disebut anak-anak Allah yang hidup.”
27. Nabi Yesaya berseru tentang orang Israel, “Sungguhpun bilangan orang Israel sebanyak pasir di laut, hanya sedikit sahaja yang akan diselamatkan;
28. kerana Tuhan akan segera menjatuhkan hukuman kepada semua orang di bumi.”
29. Seperti yang dikatakan Yesaya dahulu, “Seandainya Tuhan Yang Maha Kuasa tidak memberi kita keturunan, pastilah kita semua sudah menjadi seperti Sodom dan Gomora.”
30. Oleh itu, inilah kesimpulannya: Orang bukan Yahudi yang tidak berusaha untuk berbaik semula dengan Allah, sekarang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada-Nya.
31. Sebaliknya orang Israel yang selalu mencari hukum yang membolehkan mereka berbaik semula dengan Allah, tidak menjumpainya.
32. Mereka tidak menjumpai hukum itu kerana mereka bergantung kepada usaha mereka sendiri, dan tidak percaya kepada Allah. Oleh itu mereka tersandung pada ‘batu sandungan’.
33. Di dalam Alkitab ada tertulis tentang batu itu,“Lihatlah, Aku meletakkan satu batu di Sion yang akan menyebabkan orang tersandung,satu batu besar yang akan menyebabkan orang jatuh.Tetapi orang yang percaya kepada Dia,tidak akan dikecewakan.”