Pengkhutbah 7:11-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. Tiap-tiap orang yang hidup haruslah mempunyai hikmat; hal itu sama baiknya dengan menerima warisan,

12. dan memberikan jaminan seperti wang tunai. Berbahagialah orang yang mengetahui bahawa hikmat melindungi hidup orang yang memilikinya.

13. Renungkanlah hal yang telah dilakukan oleh Allah. Bolehkah sesiapa meluruskan apa yang telah dibengkokkan oleh Allah?

14. Apabila kamu senang, bersukacitalah; dan apabila kamu susah, ingatlah bahawa kesenangan dan kesusahan, kedua-duanya datang daripada Allah. Manusia tidak tahu apa yang akan berlaku selanjutnya.

15. Sungguhpun hidupku sia-sia, aku telah nampak segala-galanya. Ada kalanya orang yang baik mati walaupun mereka baik. Ada kalanya orang yang jahat panjang umur walaupun mereka jahat.

16. Oleh itu janganlah terlalu baik atau terlalu bijak; mengapa membinasakan diri sendiri?

17. Tetapi janganlah terlalu jahat atau terlalu bodoh; mengapa mati sebelum waktunya?

18. Hindarilah kedua-dua hal yang keterlaluan itu. Jika kita menghormati Allah, tentu kita akan berjaya.

19. Hikmat menjadikan pemiliknya lebih perkasa daripada sepuluh orang penguasa di sebuah kota.

20. Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik dan tidak pernah melakukan kesalahan.

21. Jangan pedulikan segala kata orang. Mungkin kamu mendengar hambamu mengutuk kamu,

22. dan kamu tahu bahawa kamu sendiri pun kerap kali mengutuk orang lain.

23. Aku menggunakan hikmat untuk menguji segala hal itu. Aku bertekad untuk memperoleh hikmat, tetapi tidak dapat mencapainya.

24. Bagaimanakah seseorang dapat mengetahui makna hidup? Hal itu terlalu dalam dan terlalu susah untuk difahami.

25. Aku tekun belajar dan mencari pengetahuan supaya mendapat hikmat dan jawapan bagi pertanyaanku. Aku mencuba memahami bahawa kebodohan itu kejahatan dan kebebalan itu kegilaan.

26. Aku mendapati hal ini lebih pahit daripada maut: Seorang wanita yang menggunakan cinta sebagai jala atau perangkap untuk menangkap mangsa; pelukannya seperti belenggu yang mengikat dengan erat. Orang yang melakukan kehendak Allah dapat melepaskan diri, tetapi orang berdosa akan ditangkapnya.

Pengkhutbah 7