Mazmur 69:1-13 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Oleh Daud.

2. Selamatkanlah aku, ya Allah!Air sudah naik ke leherku;

3. aku hampir tenggelam di lumpur yang dalam,dan tiada tempat berjejak;aku berada di air yang dalam,dan ombak pun hampir melemaskan aku.

4. Aku letih berseru meminta pertolongan,dan kerongkongku sakit.Mataku pedihmenantikan pertolongan-Mu.

5. Orang yang membenci aku tanpa sebab,lebih banyak daripada rambut pada kepalaku.Musuhku memfitnah aku,mereka kuat dan mahu membunuh aku.Mereka memaksa aku menyerahkan barang-barang yang tidak aku curi.

6. Ya Allah, dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu,Engkau tahu betapa bodohnya aku.

7. Janganlah biarkan aku mendatangkan malu kepada orang yang berharap kepada-Mu,ya TUHAN Raja Yang Maha Kuasa!Janganlah biarkan aku mendatangkan aib kepada mereka yang menyembah Engkau,ya Allah umat Israel!

8. Kerana Engkaulah, aku dikeji,dan diliputi perasaan malu.

9. Aku bagaikan orang asing kepada saudara-saudaraku,seperti orang luar kepada keluargaku.

10. Cintaku untuk Rumah-Mu berkobar-kobar seperti api;hinaan yang ditujukan kepada-Mu menimpa diriku.

11. Aku merendahkan diri dengan berpuasa,tetapi manusia mencela aku.

12. Ketika aku mengenakan pakaian perkabungan,mereka mentertawakan aku.

13. Aku menjadi buah mulut di tempat orang berkumpul,dan nyanyian orang mabuk adalah tentang aku.

Mazmur 69