Mazmur 51 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

Doa Minta Ampun

1. Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud

2. setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba.

3. Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu;hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar.

4. Basuhlah aku daripada segala kejahatanku,dan bersihkanlah aku daripada dosaku.

5. Aku mengakui kesalahanku;aku sentiasa sedar akan dosaku.

6. Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja,dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat.Maka patutlah Engkau menghakimi aku;adillah Engkau ketika menghukum aku.

7. Aku jahat sejak aku dilahirkan;aku berdosa sejak aku dalam kandungan.

8. Engkau menghendaki ketulusan hati;penuhkanlah batinku dengan kebijaksanaan-Mu.

9. Sucikanlah aku, maka aku akan menjadi bersih;basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji.

10. Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan,agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan,akan menjadi gembira semula.

11. Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku,dan hapuskanlah segala kejahatanku.

12. Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku,baharuilah batinku agar menjadi teguh.

13. Janganlah buang aku daripada hadirat-Mu;janganlah ambil Roh-Mu yang suci daripadaku.

14. Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu,dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu.

15. Maka aku akan mengajarkan perintah-Mu kepada orang berdosa,dan mereka akan kembali kepada-Mu.

16. Ya Allah, lepaskanlah aku daripada maut, dan selamatkanlah aku,lalu dengan sukacita aku akan memberitakan keadilan-Mu.

17. Tolonglah aku berkata-kata,ya Tuhan,lalu aku akan memberi Engkau pujian.

18. Engkau tidak mahu korban yang dipersembahkan;jika aku mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Mu,Engkau pun tidak berkenan.

19. Persembahanku adalah hati yang hancur, ya Allah;hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima.

20. Tunjukkanlah kebaikan-Mu kepada Sion, ya Allah,binalah tembok-tembok Yerusalem semula.

21. Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang layak,serta korban-korban yang kami bakar;di atas mazbah-Mu, lembu jantan akan dipersembahkan.