Mazmur 104:24-35 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

24. Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu!Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya!Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu.

25. Lihatlah laut luas terbentang,dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang.

26. Di situ kapal-kapal belayar,dan Lewiatan, raksasa laut ciptaan-Mu, bermain-main.

27. Semuanya bergantung kepada-Mu,untuk mendapat makanan pada waktunya.

28. Engkau memberikan makanan, dan makhluk ciptaan-Mu mengumpulkannya;Engkau memberikan semuanya makanan sehingga kenyang.

29. Apabila Engkau berpaling, makhluk ciptaan-Mu takut;apabila Engkau mengambil balik nafas-Mu, semuanya binasa,dan kembali ke tanah, menjadi debu semula.

30. Tetapi apabila Engkau memberikan nafas, semuanya hidup;Engkau memberikan kehidupan baru kepada bumi.

31. Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya!Semoga TUHAN bergembira dengan semua ciptaan-Nya!

32. Dia memandang bumi, bumi pun bergentar;Dia menyentuh gunung, gunung pun berasap.

33. Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang umurku;aku akan menyanyikan pujian bagi Allahku seumur hidupku.

34. Semoga nyanyianku menyenangkan hati-Nya,kerana Dialah yang membuat hatiku gembira.

35. Biarlah orang berdosa dihapuskan dari muka bumi,biarlah orang jahat habis binasa.Pujilah TUHAN, hai jiwaku!Pujilah TUHAN!

Mazmur 104