Matius 9:24-33 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

24. Dia berkata, “Keluarlah kamu semua! Anak ini tidak mati; dia hanya tidur.”Mereka mula mentertawakan Yesus.

25. Tetapi sebaik sahaja mereka keluar, Yesus masuk ke dalam bilik anak perempuan itu lalu memegang tangannya. Anak itu pun bangkit.

26. Berita ini tersebar ke seluruh daerah itu.

27. Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, dua orang buta mula mengikut Dia. Mereka berseru, “Hai Anak Daud, kasihanilah kami.”

28. Apabila Yesus masuk ke dalam rumah, kedua-dua orang buta itu menghampiri Dia. Yesus bertanya kepada mereka, “Percayakah kamu bahawa Aku boleh menyembuhkan kamu?”“Ya, Tuan!” jawab mereka.

29. Lalu Yesus menjamah mata mereka sambil berkata, “Kerana kamu percaya, berlakulah apa yang kamu harapkan!”

30. Lalu mereka dapat melihat. Yesus berpesan kepada mereka dengan tegas, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun.”

31. Tetapi mereka pergi dan menyebarkan berita tentang Yesus ke seluruh daerah itu.

32. Apabila kedua-dua orang itu pergi, beberapa orang membawa seorang bisu kepada Yesus. Orang itu bisu kerana dirasuk roh jahat.

33. Sebaik sahaja roh jahat itu diusir oleh Yesus, orang itu mula bercakap. Semua orang hairan melihat hal itu. Mereka berkata, “Belum pernah kami saksikan peristiwa serupa ini di Israel!”

Matius 9