Matius 7:11-28 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu. Lebih-lebih lagi Bapa kamu yang di syurga; Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada Dia!

12. Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.”

13. “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka itu lebar dan lapang! Banyak orang yang mengambil jalan itu.

14. Tetapi pintu dan jalan yang menghala ke hidup sejati itu sempit dan susah. Hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu.”

15. “Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas.

16. Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara.

17. Tetapi pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, dan pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang buruk.

18. Pokok yang subur tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang tidak subur tidak dapat menghasilkan buah yang baik.

19. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik, ditebang lalu dibakar.

20. Demikianlah kamu akan mengenal nabi palsu melalui perbuatan mereka.”

21. “Tidak semua orang yang memanggil Aku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan,’ akan menikmati Pemerintahan Allah, tetapi hanya orang yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.

22. Pada Hari Kiamat banyak orang akan berkata kepada-Ku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan, bukankah dengan nama Tuhan kami memberitakan perkhabaran Allah? Bukankah dengan nama Tuhan kami mengusir roh jahat, serta melakukan banyak mukjizat?’

23. Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai kamu yang tidak mentaati Allah!’ ”

24. “Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini dan menurutnya, dia seperti seorang bijak yang membina rumah di atas batu.

25. Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana berasaskan batu.

26. Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini tetapi tidak menurutnya, dia seperti seorang bodoh yang membina rumah di atas pasir.

27. Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, lalu rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!”

28. Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara tersebut, orang ramai sangat hairan dengan cara Dia mengajar.

Matius 7