Matius 27:39-56 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

39. Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata,

40. “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!”

41. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata,

42. “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya!

43. Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?”

44. Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu.

45. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap.

46. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?”

47. Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!”

48. Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus.

49. Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!”

50. Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir.

51. Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah,

52. kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula.

53. Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka.

54. Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, “Dia betul-betul Anak Allah!”

55. Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia.

56. Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus.

Matius 27