21. Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, “Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?”“Barabas!” jawab mereka.
22. “Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus bertanya kepada mereka.“Salibkan dia!” jawab mereka semua.
23. Tetapi Pilatus berkata, “Kejahatan apa yang telah dilakukannya?”Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!”
24. Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, “Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!”
25. Seluruh orang ramai itu menjawab, “Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!”
26. Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib.
27. Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya.
28. Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia.
29. Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!”
30. Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya.
31. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib.
32. Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus.