Matius 20:11-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. Apabila mereka menerima wang itu, mereka mula bersungut-sungut terhadap pemilik ladang itu.

12. Mereka berkata, ‘Pekerja-pekerja yang datang terakhir itu bekerja hanya satu jam, sedangkan kami bekerja sepanjang hari di bawah terik matahari. Tetapi jumlah yang tuan bayar kepada mereka sama dengan jumlah yang tuan bayar kepada kami!’

13. Pemilik ladang anggur itu menjawab salah seorang daripada mereka, ‘Dengarlah, kawan! Aku tidak menipu kamu. Bukankah kamu bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari?

14. Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu, upah sebanyak yang kamu terima.

15. Tidakkah aku berhak berbuat sekehendak hatiku dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu cemburu kerana aku murah hati?’ ”

16. Lalu Yesus berkata lagi, “Demikianlah orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.”

17. Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya pergi ke Yerusalem. Di tengah perjalanan, Yesus mengajak mereka ke tepi lalu berkata kepada mereka sahaja,

18. “Dengarlah, kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya,

19. lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi, yang akan mengolok-olok Dia, menyesah Dia, dan menyalibkan Dia. Tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.”

20. Kemudian isteri Zebedeus datang kepada Yesus dengan kedua-dua orang anaknya. Dia berlutut di hadapan Yesus dan meminta sesuatu daripada-Nya.

Matius 20