15. Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala semua kanak-kanak itu. Kemudian Dia pergi.
16. Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Yesus. Dia bertanya, “Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”
17. Yesus menjawab, “Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal.”
18. “Hukum yang mana?” tanya orang itu.Yesus menjawab, “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu;
19. hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”
20. “Semua hukum ini sudah saya taati,” jawab orang muda itu. “Adakah lagi yang harus saya lakukan?”
21. Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.”
22. Apabila orang muda itu mendengar hal ini, dia meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya.
23. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ketahuilah, susah sekali bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.
24. Aku berkata kepada kamu: Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.”