3. Mereka bertanya, “Adakah Guru orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?”
4. Yesus menjawab, “Baliklah dan beritahu Yohanes apa yang kamu dengar dan nampak:
5. orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin.
6. Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!”
7. Sementara pengikut-pengikut Yohanes meninggalkan tempat itu, Yesus berkata kepada orang ramai tentang Yohanes, “Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah?
8. Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana!
9. Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi!
10. Yohanes Pembaptis itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia dahulu daripada-Mu untuk menyediakan jalan bagi-Mu.’
11. Ketahuilah! Yohanes Pembaptis lebih besar daripada semua orang yang pernah hidup di dunia ini. Namun demikian orang yang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.
12. Sejak Yohanes Pembaptis mengkhabarkan beritanya sehingga saat ini, Pemerintahan Allah telah dilawan oleh orang ganas yang berusaha menguasainya dengan kekerasan.
13. Sehingga kedatangan Yohanes, semua nabi dan Taurat Musa bernubuat tentang Pemerintahan itu.
14. Jika kamu mahu percaya kepada perkhabaran mereka, Yohanes itulah Elia yang kedatangannya sudah dinubuatkan.
15. Jika kamu bertelinga, dengarlah!
16. Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain,
17. ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’
18. Apabila Yohanes datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu semua orang berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’