Markus 7:12-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Maka orang itu tidak payah menolong ibu bapanya.

13. Dengan jalan ini ajaran yang kamu sampaikan kepada orang lain, meniadakan firman Allah. Banyak lagi perkara seperti ini yang kamu lakukan.”

14. Lalu sekali lagi Yesus memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, “Dengarlah supaya kamu mengerti!

15. Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang, dapat menajiskan dia. Sebaliknya, apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia. [

16. Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah!]”

17. Apabila Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang perumpamaan itu.

18. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu mengerti? Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang dapat menajiskan dia,

19. kerana apa yang masuk itu tidak ke dalam hati, melainkan ke dalam perut, lalu keluar lagi.” Dengan kata-kata ini Yesus menyatakan bahawa semua makanan boleh dimakan.

20. Yesus berkata lagi, “Apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia,

21. kerana dari hatilah timbul fikiran jahat yang menyebabkan orang berbuat cabul, merompak, membunuh,

22. berzina, tamak; melakukan segala perkara yang jahat, seperti menipu, berbuat yang tidak senonoh, cemburu, memfitnah, sombong, dan tidak berbudi pekerti.

23. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam dan hal itulah yang menajiskan orang.”

24. Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat kota Tirus. Dia masuk ke dalam sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu bahawa Dia di situ, tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri.

25. Seorang ibu, yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar perihal Yesus. Dia segera datang kepada-Nya lalu sujud di hadapan-Nya.

26. Wanita itu bukan orang Yahudi dan dia dilahirkan di daerah Fenisia di Siria. Dia memohon supaya Yesus mengusir roh jahat yang merasuk anaknya.

Markus 7