38. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.”Setelah mereka pergi melihat, mereka berkata, “Lima ketul roti dan dua ekor ikan.”
39. Lalu Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di rumput yang hijau.
40. Mereka pun duduk dengan teratur dalam kelompok. Ada yang seratus orang sekelompok dan ada pula yang lima puluh orang.
41. Setelah itu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu lalu menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua.
42. Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang.
43. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul.
44. Jumlah orang lelaki yang makan roti itu kira-kira lima ribu orang.
45. Yesus segera menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi terlebih dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang tasik, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang.
46. Setelah Yesus melihat orang ramai itu pergi, Dia pun pergi ke bukit untuk berdoa.
47. Apabila hari sudah malam, perahu pengikut-pengikut Yesus sudah ada di tengah-tengah tasik, sedangkan Yesus seorang diri di darat.
48. Yesus nampak pengikut-pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Oleh itu, kira-kira antara pukul tiga dan enam pagi, Dia berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Yesus hendak mendahului mereka,
49. tetapi mereka nampak Dia berjalan di atas air. “Hantu!” teriak mereka.
50. Mereka sangat ketakutan ketika melihat Yesus.Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!”