19. Tetapi kekhuatiran tentang hidup, keinginan untuk hidup mewah, dan pelbagai keinginan lain memenuhi hati mereka dan membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah.
20. Tetapi benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya, lalu berbuah; ada yang tiga puluh, ada yang enam puluh, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.”
21. Selanjutnya Yesus berkata, “Pernahkah seseorang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu ataupun di bawah katil? Tentu pelita itu diletakkannya di atas kaki pelita.
22. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan didedahkan.
23. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik.”
24. Yesus juga berkata kepada mereka, “Perhatikanlah apa yang kamu dengar! Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang akan digunakan oleh Allah juga untuk kamu - malahan lebih berat lagi!
25. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi; tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.”
26. Yesus berkata lagi, “Apabila Allah memerintah, keadaannya dapat diumpamakan seperti seorang yang menabur benih di ladangnya.
27. Pada malam hari dia tidur; pada siang hari dia bekerja. Sementara itu, benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Orang itu tidak mengerti bagaimana hal itu berlaku.
28. Tanah itulah yang menumbuhkan tanaman sehingga berbuah: mula-mula pucuk, kemudian bulir dan akhirnya buah.
29. Manakala buahnya masak, orang itu pun mula menuainya kerana musim menuai sudah tiba.”
30. “Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah?” tanya Yesus. “Perumpamaan apa yang dapat kita gunakan untuk menerangkannya?
31. Keadaannya seperti berikut. Biji sawi adalah benih yang terkecil di dunia. Seseorang mengambilnya lalu menanamnya di tanah.
32. Beberapa waktu kemudian benih itu tumbuh dan menjadi yang terbesar di antara segala tumbuh-tumbuhan. Cabangnya rimbun sehingga burung datang membuat sarang di bawah keteduhannya.”
33. Demikianlah Yesus mengajar dengan menggunakan banyak perumpamaan seperti itu. Dia mengajarkan perkhabaran itu sejauh mana mereka dapat mengerti.
34. Dia sentiasa menggunakan perumpamaan apabila mengajar. Tetapi manakala Dia sendirian dengan pengikut-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya.
35. Pada petang hari itu juga, Yesus berkata kepada pengikut-Nya, “Marilah kita menyeberang tasik.”