13. Yesus balik semula ke pantai Tasik Galilea. Lalu orang ramai datang kepada-Nya dan Dia mula mengajar mereka.
14. Sementara Yesus berjalan di situ, Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri lalu mengikut Yesus.
15. Kemudian Yesus makan di rumah Lewi. Sebilangan besar pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat mengikut Yesus. Banyak antara mereka yang turut makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya.
16. Beberapa orang guru Taurat daripada golongan Farisi nampak Yesus makan bersama dengan pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat. Oleh itu mereka bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa dia makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?”
17. Yesus mendengar pertanyaan mereka, lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya. Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi untuk orang yang dihina masyarakat.”
18. Pada suatu ketika, para pengikut Yohanes Pembaptis dan orang Farisi sedang berpuasa. Beberapa orang datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikut Yohanes Pembaptis dan pengikut orang Farisi berpuasa, tetapi pengikut guru tidak?”
19. Yesus menjawab, “Adakah tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa? Tentu tidak! Selama pengantin lelaki masih bersama-sama mereka, mereka tidak berpuasa.
20. Tetapi akan tiba masanya apabila pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.
21. Tidak ada orang menggunakan kain yang baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain penampal yang baru itu akan mengecut lalu menyebabkan pakaian lama itu semakin koyak.
22. Demikian juga tidak ada orang yang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain itu akan memecahkan kirbat kulit itu dan kedua-duanya terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat yang baru juga!”
23. Pada suatu hari Sabat ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, para pengikut-Nya yang berjalan bersama dengan Dia mula memetik bulir gandum.