Markus 13:12-32 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh. Bapa juga akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa dan menyerahkan mereka supaya dibunuh.

13. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.”

14. “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ di tempat yang terlarang baginya. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Pada waktu itu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.

15. Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke dalam rumah untuk mengambil sesuatu.

16. Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah.

17. Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi!

18. Berdoalah kepada Allah supaya perkara-perkara ini tidak berlaku pada musim sejuk!

19. Pada masa itu akan timbul suatu kesusahan yang belum pernah berlaku, sejak Allah menjadikan dunia hingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi.

20. Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat-Nya yang terpilih, Allah memendekkan masa itu.

21. Pada masa itu jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu.

22. Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, jika mungkin umat pilihan Allah juga.

23. Berjaga-jagalah! Semua perkara itu telah Aku katakan kepada kamu sebelum semuanya berlaku.”

24. “Selepas masa kesusahan itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya.

25. Bintang-bintang akan jatuh dari langit dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya.

26. Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan besar dan kemuliaan.

27. Dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan-Nya dari hujung bumi ke hujung langit.”

28. “Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat.

29. Demikian juga apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan akan bermula dengan segera.

30. Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya.

31. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.”

32. “Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu.

Markus 13