3. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba itu, memukul dia lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong.
4. Pemilik ladang itu mengutus seorang hamba lain, tetapi penyewa-penyewa ladang itu memukul kepala hamba itu dan mempermalukan dia.
5. Lalu pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya, tetapi mereka membunuh dia. Demikianlah mereka memperlakukan banyak lagi hamba yang lain: Ada yang dipukul dan ada juga yang dibunuh.
6. Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. ‘Tentu mereka akan menghormati anakku,’ katanya.
7. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’
8. Oleh itu mereka menangkap anak itu, membunuh dia, lalu membuang mayatnya ke luar ladang itu.”
9. Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu? Tentu dia akan datang dan membunuh semua penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain.
10. Tentu kamu sudah membaca ayat ini di dalam Alkitab,‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunantelah menjadi batu yang paling utama.
11. Inilah perbuatan Tuhan;alangkah indahnya!’ ”
12. Para pemimpin Yahudi itu berusaha untuk menangkap Yesus, kerana mereka tahu bahawa Yesus menujukan perumpamaan itu kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka meninggalkan Yesus.
13. Beberapa orang Farisi dan anggota golongan Herodes diutus untuk memerangkap Yesus dengan beberapa pertanyaan.
14. Mereka datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur dan tidak menghiraukan pendapat orang lain. Guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita membayarnya atau tidak?”