30. akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini. Orang itu akan menerima seratus kali ganda rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak, ladang, dan juga penganiayaan. Pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal.
31. Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.”
32. Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Yesus berjalan di hadapan, sementara pengikut-pengikut-Nya mengikuti-Nya dengan cemas. Orang ramai yang mengikut mereka pun takut. Sekali lagi Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya ke tepi, lalu berkata kepada mereka tentang apa yang akan berlaku terhadap diri-Nya.
33. “Dengarlah,” kata-Nya, “Kita sekarang sedang menuju ke Yerusalem. Di situ Anak Manusia akan diserahkan kepada para ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi.
34. Mereka akan mengolok-olok Dia, meludahi Dia, menyesah Dia, dan membunuh Dia. Tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.”
35. Lalu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus datang kepada Yesus. “Guru,” kata mereka, “ada satu perkara yang kami hendak Guru lakukan untuk kami.”
36. “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?” tanya Yesus.
37. Mereka menjawab, “Apabila Guru bertakhta dalam kemuliaan, benarkanlah kami duduk di sebelah kanan dan kiri Guru.”
38. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu tidak mengetahui apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum? Sanggupkah kamu mengalami baptisan penderitaan yang akan Aku alami?”
39. “Sanggup,” jawab mereka.Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum dan kamu akan mengalami baptisan penderitaan seperti yang akan Aku alami.
40. Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Allah yang menentukan siapa orangnya yang akan duduk di tempat itu.”
41. Ketika sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes.
42. Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat.