Markus 10:16-23 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

16. Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka.

17. Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”

18. “Mengapa kamu mengatakan Aku baik?” tanya Yesus. “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah.

19. Kamu tahu akan hukum Allah: ‘Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; jangan menipu; hormatilah ibu bapamu.’ ”

20. “Guru,” kata orang itu, “sejak muda saya telah menurut semua hukum itu.”

21. Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, “Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.”

22. Apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, mukanya muram. Dia terus meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya.

23. Yesus memandang pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Alangkah susahnya bagi orang kaya menikmati Pemerintahan Allah!”

Markus 10