2. Tetapi siapakah yang dapat tahan pada hari Dia datang dan menampakkan diri? Dia seperti sabun yang kuat dan seperti api yang memurnikan logam.
3. Dia akan datang untuk menghakimi orang, seperti seorang yang membersihkan dan memurnikan perak. Sebagaimana tukang logam membersihkan dan memurnikan emas dan perak, demikian juga utusan TUHAN akan memurnikan para imam supaya mereka mempersembahkan korban yang layak dipersembahkan kepada TUHAN.
4. Kemudian seperti pada zaman dahulu, TUHAN akan berkenan kepada korban yang dipersembahkan kepada-Nya oleh penduduk Yehuda dan Yerusalem.
5. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku akan datang untuk menghakimi kamu. Aku akan segera menjadi saksi untuk menentang tukang-tukang sihir, orang yang berzina, orang yang memberikan kesaksian palsu, orang yang berlaku curang dalam hal memberikan gaji kepada pekerja, orang yang menindas balu, yatim piatu dan orang bangsa asing, serta terhadap semua orang yang tidak menghormati Aku.”
6. “Akulah TUHAN; Aku tidak berubah. Oleh itu kamu, keturunan Yakub, tidak dibinasakan sama sekali.
7. Seperti nenek moyang kamu dahulu, kamu semua sudah menyimpang daripada hukum-Ku dan tidak setia melaksanakannya. Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu. Tetapi kamu bertanya, ‘Apakah yang harus kami lakukan untuk kembali kepada-Mu?’
8. Sekarang Aku bertanya kepada kamu, ‘Bolehkah manusia menipu Allah?’ Tentu tidak. Tetapi kamu menipu Aku juga. Kamu bertanya, ‘Bagaimana?’ Aku menjawab, ‘Dalam hal memberikan persepuluhan dan persembahan.’
9. Kamu semua kena kutuk kerana segenap bangsa menipu Aku.
10. Bawalah seluruh persepuluhan kamu ke Rumah-Ku supaya ada banyak makanan di sana. Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik.
11. Aku tidak akan membiarkan serangga merosakkan tanaman kamu; pokok anggur kamu akan berbuah lebat.
12. Kemudian kamu akan dikatakan berbahagia oleh semua bangsa, kerana negeri kamu akan menjadi tempat kediaman yang baik.”
13. TUHAN berfirman, “Kata-kata kamu sangat menghina Aku. Tetapi kamu bertanya, ‘Apakah yang kami katakan tentang Engkau?’
14. Kamu berkata, ‘Sia-sia saja mengabdikan diri kepada Allah. Apakah gunanya menurut perintah-Nya, atau menunjukkan bahawa kita menyesali kesalahan kita di hadapan TUHAN Yang Maha Kuasa?
15. Kita sendiri melihat bahawa orang sombonglah yang berbahagia. Orang jahat tidak hanya bertambah makmur, bahkan mereka mencubai kesabaran Allah dengan berbuat jahat, dan mereka selalu terlepas daripada hukuman.’ ”