Lukas 8:35-45 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

35. Lalu orang ramai keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat duduk dekat kaki Yesus. Orang itu sudah berpakaian dan waras fikirannya. Mereka semua ketakutan.

36. Semua orang yang telah melihat kejadian itu memberitahu orang ramai bagaimana orang itu disembuhkan.

37. Lalu penduduk daerah Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu, kerana mereka semua sangat takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ.

38. Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat memohon kepada Yesus supaya dibenarkan mengikut Yesus.Tetapi Yesus menyuruh dia pergi,

39. “Pulanglah ke rumah, dan ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Allah untukmu.”Orang itu pergi ke seluruh pelosok bandar dan menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya.

40. Apabila Yesus kembali ke seberang tasik, orang ramai menyambut Dia kerana mereka sedang menanti-nantikan Dia.

41. Lalu datanglah seorang bernama Yairus. Dia ketua rumah ibadat tempatan. Dia sujud di hadapan Yesus dan memohon supaya Yesus datang ke rumahnya,

42. kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir meninggal.Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang mengasak Dia dari semua sisi.

43. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala miliknya untuk rawatan doktor, tetapi tiada seorang pun dapat menyembuhkan dia.

44. Wanita itu mendekati Yesus dari belakang, lalu menyentuh hujung jubah-Nya, dan dengan segera pendarahannya berhenti.

45. Yesus bertanya, “Siapa menyentuh Aku?”Tiada orang yang mahu mengaku. Petrus berkata, “Guru, orang di sini banyak sekali; mereka berasak-asakan!”

Lukas 8