Kisah Rasul-Rasul 28:7-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

7. Tidak jauh dari tempat itu terdapat tanah yang dimiliki oleh Publius, gabenor pulau itu. Dia menyambut kami dengan baik dan selama tiga hari kami menjadi tetamunya.

8. Pada masa itu bapanya sedang demam dan menderita cirit-birit. Paulus masuk ke biliknya, lalu berdoa sambil meletakkan tangannya pada bapa yang sakit itu dan sembuhlah dia.

9. Kerana peristiwa itu, semua orang sakit di pulau itu datang kepada Paulus, dan mereka semua disembuhkan.

10. Mereka memberi kami banyak hadiah, dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa bekalan ke kapal bagi perjalanan kami.

11. Tiga bulan kemudian kami belayar dari pulau itu dengan kapal dari Aleksandria yang menggunakan lambang “Dewa Kembar”. Kapal itu sudah berlabuh di pulau itu sepanjang musim sejuk.

12. Kami tiba di kota Sirakusa dan tinggal di situ selama tiga hari.

13. Dari situ kami belayar lagi dan tiba di kota Regium. Keesokan harinya angin mula bertiup dari selatan dan dalam dua hari kami tiba di kota Putioli.

14. Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus, dan dengan jemputan mereka kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Lalu tibalah kami di Roma.

15. Pengikut Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami. Mereka datang sampai ke Pasar Apius dan ke Penginapan Tiga untuk menyambut kami. Apabila Paulus berjumpa dengan mereka, dia bersyukur kepada Allah kerana hal itu menggalakkan dia.

16. Apabila kami tiba di Roma, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri dengan dikawal oleh seorang askar.

17. Selepas tiga hari, Paulus memanggil pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan. Sesudah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi, saya tidak bersalah apa-apa terhadap bangsa kita atau melanggar adat resam yang kita terima daripada nenek moyang kita. Meskipun demikian saya ditangkap di Yerusalem dan diserahkan kepada bangsa Roma.

18. Setelah memeriksa perkara saya, orang Roma hendak membebaskan saya kerana mereka tidak mendapati saya melakukan kesalahan yang patut dihukum dengan hukuman mati.

Kisah Rasul-Rasul 28