Kisah Rasul-Rasul 21:6-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Setelah bersalam-salaman kami menaiki kapal dan mereka pulang ke rumah.

7. Kami melanjutkan perjalanan dan belayar dari Tirus ke Ptolemais. Di situ kami memberikan salam kepada saudara-saudara yang percaya kepada Yesus, dan tinggal dengan mereka selama sehari.

8. Keesokan harinya kami berangkat pula, lalu tiba di Kaisarea. Di situ kami menumpang di rumah seorang penginjil bernama Filipus. Dia salah seorang daripada tujuh orang yang dipilih untuk menolong para rasul di Yerusalem.

9. Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin dan mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah.

10. Setelah beberapa hari kami di situ, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea.

11. Dia datang kepada kami lalu mengambil tali pinggang Paulus. Dengan tali pinggang itu Agabus mengikat kaki dan tangannya sendiri lalu berkata, “Inilah yang dikatakan oleh Roh Allah: Pemilik tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem dan mereka akan menyerahkan dia kepada orang bukan Yahudi.”

12. Apabila kami mendengar kata-kata itu, kami dan semua saudara lain memohon Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem.

13. Tetapi dia menjawab, “Mengapa kamu menangis seperti ini sehingga menyebabkan aku bersedih hati? Aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat di Yerusalem, tetapi juga untuk mati di situ kerana Tuhan Yesus.”

14. Kerana Paulus tidak mahu mendengarkan kami, kami pun berhenti melarang dia. Kami berkata, “Biarlah kehendak Tuhan berlaku.”

15. Setelah kami tinggal di situ beberapa lama, kami mengemaskan barang lalu berangkat ke Yerusalem.

16. Beberapa orang pengikut Yesus dari Kaisarea mengikut kami dan menghantar kami ke rumah Manason, kerana di rumah dialah kami akan menginap. Manason berasal dari Siprus dan sudah lama menjadi pengikut Yesus.

17. Apabila kami tiba di Yerusalem, pengikut-pengikut Yesus di situ menyambut kami dengan sukacita.

18. Keesokan harinya Paulus pergi bersama-sama kami menjumpai Yakobus; semua pemimpin jemaah pun hadir.

19. Paulus memberikan salam kepada mereka, lalu memberitahukan segala sesuatu yang sudah dilakukan oleh Allah melalui dia di kalangan orang bukan Yahudi.

20. Setelah mendengar laporan Paulus, mereka semua memuji Allah. Kemudian mereka berkata kepada Paulus, “Saudara Paulus, dengarlah! Di sini ada beribu-ribu orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus, dan mereka mentaati Taurat Musa dengan setia.

21. Tetapi mereka sudah diberitahu bahawa saudara mengajar semua orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bukan Yahudi supaya tidak menurut Taurat Musa, tidak menyunat anak-anak mereka ataupun menurut adat istiadat orang Yahudi.

22. Mereka tentu sudah mendengar bahawa saudara sudah tiba di sini. Apakah yang harus kita lakukan sekarang?

Kisah Rasul-Rasul 21