25. Apabila Yohanes hampir menyelesaikan tugasnya, dia berkata kepada orang ramai, ‘Siapakah aku ini menurut pendapat kamu? Aku bukan orang yang kamu tunggu-tunggu. Dengarlah baik-baik! Dia akan datang kemudian, dan aku tidak layak membuka kasut-Nya.’
26. Saudara-saudara keturunan Abraham, dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah! Allah sudah mengirim berita penyelamatan itu kepada kita.
27. Orang yang tinggal di Yerusalem dan pemimpin-pemimpin mereka tidak sedar bahawa Dialah Penyelamat itu. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, sehingga mereka menghukum Yesus. Tetapi melalui perbuatan mereka itu berlakulah apa yang sudah dikatakan oleh nabi-nabi.
28. Meskipun mereka tidak mempunyai alasan apa-apa untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus, namun mereka meminta Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.
29. Setelah mereka melakukan semua yang tertulis di dalam Alkitab tentang Dia, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam kubur.
30. Tetapi Allah membangkitkan Dia daripada kematian.
31. Kemudian selama beberapa hari Dia menampakkan diri kepada mereka yang dahulu berjalan bersama-sama Dia dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang mereka menjadi saksi bagi-Nya kepada bangsa Israel.
32. Oleh itu kami di sini untuk menyampaikan Berita Baik ini kepada kamu. Apa yang dijanjikan oleh Allah kepada nenek moyang kita,
33. sudah dilakukan-Nya bagi kita, iaitu keturunan mereka, dengan membangkitkan Yesus daripada kematian. Seperti yang tertulis di dalam Kitab Mazmur fasal dua,‘Engkaulah Anak-Ku,pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’