Kisah Rasul-Rasul 13:2-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. Sementara mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, “Pilihlah Barnabas dan Saulus khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka.”

3. Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas kepala Barnabas dan Saulus, lalu mengutus mereka berdua.

4. Barnabas dan Saulus pergi ke Seleukia, kerana diutus oleh Roh Allah. Dari sana mereka belayar ke pulau Siprus.

5. Apabila mereka tiba di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes Markus menolong mereka dalam tugas itu.

6. Mereka menjelajah seluruh pulau itu, sehingga tiba di Pafos. Di situ mereka berjumpa dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yesus, seorang Yahudi yang menganggap dirinya sebagai nabi.

7. Dia sahabat Sergius Paulus, gabenor pulau itu, seorang yang cerdik dan bijaksana. Gabenor itu menjemput Barnabas dan Saulus, kerana dia ingin mendengar firman Allah.

8. Tetapi Barnabas dan Saulus ditentang oleh Elimas ahli sihir itu (itulah namanya dalam bahasa Yunani), kerana Elimas cuba menghalang gabenor itu percaya kepada Yesus.

9. Tetapi Saulus - yang juga disebut Paulus - dikuasai oleh Roh Allah, dan menatap ahli sihir itu.

10. Lalu Paulus berkata, “Kamu anak Iblis! Kamu musuh segala apa yang baik. Kamu penuh dengan tipu muslihat. Kamu berdusta mengenai ajaran tentang Tuhan!

11. Tuhan akan menghukum kamu sekarang juga. Kamu akan menjadi buta, dan tidak dapat melihat cahaya matahari untuk sementara waktu.”Pada saat itu juga Elimas merasa kabus gelap menutupi matanya, sehingga dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang yang dapat menuntunnya.

12. Apabila gabenor itu melihat apa yang sudah berlaku, dia percaya kepada Yesus, kerana sangat mengagumi ajaran Tuhan.

13. Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di daerah Pamfilia. Di situ Yohanes Markus meninggalkan mereka lalu kembali ke Yerusalem.

14. Mereka melanjutkan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ.

15. Setelah Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi dibacakan, para pemimpin rumah ibadat itu menyuruh orang berkata kepada Paulus dan rakannya, “Saudara-saudara, jika ada nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah katakan.”

16. Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangan, dan mula berkata,“Saudara-saudara bangsa Israel dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah, dengarlah!

17. Allah orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan menjadikan mereka bangsa yang besar, semasa mereka tinggal di Mesir sebagai orang asing. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar.

18. Dia bersabar terhadap mereka selama empat puluh tahun di padang gurun.

Kisah Rasul-Rasul 13