Kisah Rasul-Rasul 10:2-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. Dia takut akan Allah; dia dan keluarganya menyembah Allah. Dia sering menolong orang Yahudi yang miskin, dan dia sentiasa berdoa kepada Allah.

3. Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan, dengan jelas dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, “Kornelius!”

4. Kornelius memandang malaikat itu dengan ketakutan lalu bertanya, “Ada apa, tuan?”Malaikat itu menjawab, “Doamu dan kemurahan hatimu sudah diterima oleh Allah dan Allah mengabulkan doamu.

5. Sekarang suruhlah beberapa orang ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus.

6. Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.”

7. Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hamba yang bekerja di rumahnya dan salah seorang pengawal peribadinya, yang juga takut akan Allah.

8. Dia memberitahu mereka apa yang sudah berlaku, lalu menyuruh mereka pergi ke Yope.

9. Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah pada tengah hari untuk berdoa.

10. Dia lapar dan hendak makan. Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan.

11. Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya.

12. Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar.

13. Lalu ada suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!”

14. Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.”

15. Tetapi suara itu berkata lagi, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.”

16. Perkara itu berulang sehingga tiga kali, lalu kain itu terangkat kembali ke langit.

17. Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu.

18. Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ.

19. Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, “Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu.

20. Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.”

21. Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?”

22. Mereka menjawab, “Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.”

Kisah Rasul-Rasul 10