13. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku.
14. Kali ini Aku akan menghukum bukan hanya para pegawai dan rakyatmu, tetapi engkau juga, agar engkau tahu bahawa tiada sesiapa pun yang seperti Aku di seluruh dunia.
15. Jika Aku telah menghukum engkau dan rakyatmu dengan penyakit, tentu kamu sudah binasa sama sekali.
16. Tetapi Aku membiarkan engkau hidup untuk menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, supaya nama-Ku termasyhur di seluruh dunia.
17. Namun engkau masih angkuh dan tidak mahu membenarkan umat-Ku pergi.
18. Kira-kira waktu ini esok, Aku akan menurunkan hujan batu yang lebat, yang belum pernah berlaku sepanjang sejarah negeri Mesir.
19. Sekarang berikanlah perintah supaya ternakan dan segala kepunyaanmu yang berada di luar dibawa ke tempat terlindung. Semua manusia dan ternakan yang berada di luar dan tidak terlindung akan mati ditimpa hujan batu.’ ”
20. Beberapa orang antara pegawai raja takut kerana firman TUHAN itu. Oleh itu, mereka membawa abdi dan ternakan mereka masuk ke dalam rumah supaya terlindung.
21. Tetapi para pegawai yang lain tidak mempedulikan firman TUHAN dan membiarkan abdi serta ternakan mereka di luar.
22. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, lalu hujan batu akan turun di serata tanah Mesir. Hujan itu akan menimpa manusia, ternakan, dan segala tumbuhan di padang.”