1. Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang yang telah dikurniakan kemahiran dan pengertian oleh TUHAN, iaitu mereka yang tahu cara membuat segala yang diperlukan untuk membina Khemah TUHAN, mesti melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN.”
2. Musa memanggil Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang lain yang telah dikurniai kebolehan oleh TUHAN, iaitu mereka yang rela menolong; lalu Musa menyuruh mereka memulakan pekerjaan itu.
3. Musa memberi mereka segala sumbangan yang dibawa oleh orang Israel untuk pembinaan Khemah TUHAN. Tetapi orang Israel masih lagi membawa sumbangan kepada Musa tiap-tiap pagi.
4. Oleh itu para tukang yang sedang melakukan pekerjaan itu
5. memberikan laporan kepada Musa, “Umat telah memberikan lebih daripada apa yang diperlukan untuk pekerjaan yang diperintahkan TUHAN.”
6. Kemudian Musa memberitahu segenap umat supaya tidak membawa sumbangan lagi untuk Khemah TUHAN; umat pun tidak memberikan apa-apa lagi.
7. Bahan-bahan yang sudah diberikan lebih daripada cukup untuk menyelesaikan segala pekerjaan itu.
8. Tukang-tukang yang paling mahir antara para tukang itu membina Khemah TUHAN. Mereka membuatnya daripada sepuluh helai kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, serta disulam dengan gambar kerub.
9. Setiap helai berukuran sama, 12 meter panjang dan 2 meter lebar.
10. Mereka menjahit lima helai menjadi satu labuh tirai, dan lima helai yang lain dibuat begitu juga.
11. Mereka membuat gelung daripada kain biru pada tepi sebelah luar kedua-dua labuh tirai.
12. Mereka membuat lima puluh utas gelung pada satu labuh tirai dan lima puluh utas gelung pada tirai yang kedua, sehingga merupakan satu pasang.
13. Mereka membuat lima puluh bentuk cangkuk emas untuk menyambungkan kedua-dua labuh tirai itu.
14. Kemudian mereka membuat bumbung Khemah daripada sebelas helai kain bulu kambing.
15. Tiap-tiap helai berukuran sama, 13 meter panjang dan 2 meter lebar.
16. Mereka menjahit lima helai menjadi satu layar dan yang enam helai lagi dibuat begitu juga.
17. Mereka memasang lima puluh utas gelung pada tepi helai yang terakhir bagi layar yang pertama, dan lima puluh utas gelung pada tepi layar yang kedua.
18. Mereka membuat lima puluh bentuk cangkuk gangsa untuk menyatukan dua layar itu sehingga menjadi bumbung Khemah.
19. Mereka membuat dua lagi penutup: satu daripada kulit kambing jantan yang dicelup merah, dan satu lagi daripada kulit halus untuk dibentangkan di sebelah atas.