19. Setiap anak lelaki sulung dan anak jantan sulung ternakan adalah milik-Ku.
20. Tetapi kamu harus menebus setiap anak sulung keldai kamu dengan mempersembahkan seekor domba sebagai penggantinya. Jika kamu tidak menebus keldai itu, patahkanlah lehernya. Kamu harus menebus setiap anak lelaki sulung kamu.Tidak seorang pun boleh menghadap Aku tanpa membawa persembahan.
21. Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi jangan bekerja pada hari ketujuh, walaupun pada masa membajak atau masa menuai.
22. Rayakanlah Perayaan Menuai apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu. Rayakanlah juga Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu memetik buah-buahan.
23. Tiga kali setahun, semua orang lelaki mesti datang menyembah Aku TUHAN, Allah Israel.
24. Setelah Aku mengusir bangsa-bangsa dari hadapan kamu dan meluaskan wilayah kamu, tiada sesiapa pun yang akan cuba menakluki negeri kamu pada waktu tiga perayaan itu.
25. Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Sisa binatang yang disembelih pada masa Perayaan Paska tidak boleh disimpan sehingga esok pagi.
26. Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama dari tanah kamu ke rumah TUHAN, Allah kamu.Jangan masak anak domba atau anak kambing dalam air susu induknya.”
27. TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman ini Aku membuat perjanjian dengan engkau dan dengan Israel.”
28. Musa tinggal di tempat itu bersama-sama TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, tanpa makan dan minum. Musa menulis perkataan perjanjian itu, iaitu Sepuluh Hukum, pada batu-batu tulis itu.
29. Apabila Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa Sepuluh Hukum itu, mukanya bercahaya kerana dia telah bercakap dengan TUHAN, tetapi Musa sendiri tidak tahu bahawa mukanya bercahaya.
30. Harun dan segenap umat melihat bahawa muka Musa bercahaya. Oleh itu mereka takut mendekati Musa,
31. tetapi Musa memanggil mereka. Kemudian Harun bersama dengan para pemimpin umat mendekatinya, dan Musa berkata-kata kepada mereka.
32. Selepas itu, segenap umat Israel berkumpul di sekeliling Musa. Lalu kepada mereka, Musa menyampaikan segala hukum yang diberikan TUHAN kepadanya di Gunung Sinai.