Keluaran 31:11-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. minyak upacara, dan kemenyan yang berbau harum untuk Bilik Suci. Mereka harus membuat semuanya tepat seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu.”

12. TUHAN memerintah Musa

13. supaya memberitahu umat Israel, “Rayakanlah hari Sabat, hari yang telah Aku tetapkan sebagai hari rehat, kerana hari itu adalah suatu tanda antara Aku dan kamu selama-lamanya, untuk menunjukkan bahawa Aku, TUHAN, telah menjadikan kamu umat-Ku sendiri.

14. Kamu mesti merayakan hari rehat itu, kerana hari itu suci. Sesiapa yang tidak merayakan hari itu, dan yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati.

15. Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari ketujuh adalah hari rehat yang suci, yang telah ditahbiskan untuk-Ku. Sesiapa yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati.

16. Umat Israel mesti merayakan hari ini sebagai tanda perjanjian.

17. Hari itu suatu tanda yang kekal antara Aku dengan umat Israel, kerana Aku, TUHAN telah menjadikan langit dan bumi dalam masa enam hari; pada hari ketujuh Aku berhenti bekerja, dan Aku berehat.”

18. Selepas Allah berfirman kepada Musa di Gunung Sinai, Allah memberi dia dua buah batu tulis yang telah ditulisi Allah sendiri dengan perintah-Nya.

Keluaran 31