13. Dengarkanlah segala firman yang telah Aku, TUHAN sampaikan kepada kamu. Jangan berdoa kepada tuhan-tuhan lain; bahkan menyebut nama tuhan-tuhan itu pun tidak boleh.”
14. “Tiap-tiap tahun, adakanlah tiga perayaan untuk menghormati Aku.
15. Dalam bulan Abib, adakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi menurut cara yang telah Aku perintahkan, kerana dalam bulan itu kamu meninggalkan Mesir. Jangan makan roti yang beragi sepanjang tujuh hari perayaan itu. Setiap kali kamu datang beribadat kepada-Ku, kamu mesti membawa persembahan.
16. Rayakanlah Perayaan Menuai dengan mempersembahkan hasil tanaman yang mula-mula dituai.Rayakanlah Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu mengumpulkan hasil ladang anggur dan hasil kebun buah-buahan.
17. Tiap-tiap tahun, pada masa tiga perayaan itu, semua orang lelaki mesti datang beribadat kepada-Ku, TUHAN, Allah kamu.
18. Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Lemak binatang yang dipersembahkan kepada-Ku selama perayaan-perayaan ini tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi.
19. Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama yang terbaik daripada tanaman kamu, ke rumah TUHAN, Allah kamu.Jangan masak anak domba atau anak kambing di dalam air susu induknya.”
20. “Aku akan mengutus malaikat-Ku mendahului kamu untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan.
21. Dengarkanlah dan taatilah dia. Jangan berontak terhadap dia kerana dia utusan-Ku. Dia tidak akan mengampunkan pemberontakan yang demikian.
22. Tetapi jika kamu taat kepadanya dan melakukan segala perintah-Ku, Aku akan berperang menentang semua musuh kamu.