Keluaran 12:22-35 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

22. Ambillah seikat hisop dan celupkannya ke dalam mangkuk yang berisi darah binatang itu, lalu sapukan darah itu pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumah sehingga pagi.

23. Apabila TUHAN menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk membunuh orang Mesir, TUHAN akan nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, maka Dia akan lalu dan tidak membenarkan Malaikat Maut masuk ke dalam rumah kamu untuk membunuh kamu.

24. Kamu dan anak-anak kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya.

25. Apabila kamu masuk ke negeri yang telah dijanjikan TUHAN kepada kamu, kamu mesti mengadakan upacara ini.

26. Apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah makna upacara ini?’

27. Kamu harus menjawab, ‘Inilah korban Paska untuk menghormati TUHAN, kerana Dia telah melalui rumah orang Israel di Mesir. Dia membunuh orang Mesir, tetapi Dia membiarkan kita hidup.’ ”Kemudian orang Israel bersujud menyembah.

28. Selepas itu mereka pergi dan melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN kepada Musa dan Harun.

29. Pada tengah malam itu TUHAN membunuh semua anak lelaki sulung di Mesir, mulai daripada putera raja yang menjadi waris takhta hingga kepada anak lelaki sulung orang tawanan di dalam penjara bawah tanah. Semua anak sulung binatang pun dibunuh.

30. Pada malam itu raja dan semua pegawainya, serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh negeri Mesir, kerana di setiap rumah terdapat kematian anak lelaki.

31. Pada malam itu juga, raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkan negeri beta! Pergilah beribadat kepada TUHAN kamu, seperti yang kamu minta.

32. Bawalah domba, kambing dan lembu kamu dan tinggalkan tempat ini. Mohonlah berkat untuk beta juga.”

33. Orang Mesir mendesak orang Israel agar meninggalkan negeri mereka dengan segera. Orang Mesir berkata, “Kami semua akan mati jika kamu tidak meninggalkan tempat ini.”

34. Oleh itu orang Israel mengisi mangkuk mereka dengan adunan roti yang tidak beragi, membungkusnya dengan kain, lalu memikul bungkusan itu.

35. Orang Israel telah melakukan apa yang disuruh oleh Musa. Mereka telah meminta barang kemas yang dibuat daripada perak dan emas, serta pakaian daripada orang Mesir.

Keluaran 12