Keluaran 12:13-28 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

13. Darah pada tiang pintu rumah akan menjadi tanda bagi rumah tempat tinggal kamu. Apabila Aku nampak darah itu, Aku akan melalui kamu, dan tidak menghukum kamu semasa Aku menghukum orang Mesir.

14. Kamu mesti merayakan hari itu sebagai perayaan bagi TUHAN, untuk mengingatkan kamu tentang apa yang telah Aku lakukan. Rayakanlah hari itu setiap tahun, selama-lamanya.”

15. TUHAN berfirman, “Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Makanlah roti yang tidak beragi saja. Pada hari pertama kamu mesti membuang segala ragi yang terdapat di dalam rumah kamu. Jika ada seseorang yang makan roti beragi selama tujuh hari itu, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku.

16. Pada hari pertama, dan sekali lagi pada hari ketujuh, kamu mesti berkumpul untuk beribadat. Pada hari-hari itu kamu tidak boleh melakukan pekerjaan apa pun, tetapi kamu boleh menyiapkan makanan.

17. Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana pada hari itu Aku membawa suku-suku kamu keluar dari Mesir. Rayakanlah hari itu sebagai perayaan pada setiap tahun untuk selama-lamanya.

18. Kamu mesti makan roti yang tidak beragi, mulai pada malam hari yang keempat belas bulan pertama sehingga malam hari yang kedua puluh satu.

19-20. Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi, baik dia orang asing ataupun orang Israel, dia tidak akan dianggap sebagai umat-Ku lagi.”

21. Musa memanggil semua pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Setiap orang daripada kamu harus mengambil seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk keluarga masing-masing. Kemudian sembelihlah binatang itu supaya keluarga kamu dapat merayakan Paska.

22. Ambillah seikat hisop dan celupkannya ke dalam mangkuk yang berisi darah binatang itu, lalu sapukan darah itu pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumah sehingga pagi.

23. Apabila TUHAN menjelajahi seluruh negeri Mesir untuk membunuh orang Mesir, TUHAN akan nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, maka Dia akan lalu dan tidak membenarkan Malaikat Maut masuk ke dalam rumah kamu untuk membunuh kamu.

24. Kamu dan anak-anak kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya.

25. Apabila kamu masuk ke negeri yang telah dijanjikan TUHAN kepada kamu, kamu mesti mengadakan upacara ini.

26. Apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah makna upacara ini?’

27. Kamu harus menjawab, ‘Inilah korban Paska untuk menghormati TUHAN, kerana Dia telah melalui rumah orang Israel di Mesir. Dia membunuh orang Mesir, tetapi Dia membiarkan kita hidup.’ ”Kemudian orang Israel bersujud menyembah.

28. Selepas itu mereka pergi dan melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN kepada Musa dan Harun.

Keluaran 12