10. Apabila mereka sampai di tempat orang mengirik gandum di Atad, di sebelah timur Sungai Yordan, mereka meratap dengan sedih dan nyaring. Yusuf mengadakan upacara perkabungan selama tujuh hari.
11. Apabila penduduk Kanaan melihat perkabungan di Atad, mereka berkata, “Betapa pilunya upacara perkabungan orang Mesir!” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Abel-Mizraim.
12. Demikianlah anak-anak lelaki Yakub melakukan apa yang dipesankan Yakub kepada mereka.
13. Mereka membawa jenazah Yakub ke Kanaan dan mengebumikannya di dalam gua Makhpela, di sebelah timur Mamre, di ladang yang dibeli oleh Abraham daripada Efron orang Het, untuk dijadikan tanah perkuburan.
14. Selepas Yusuf mengebumikan bapanya, dia kembali ke Mesir bersama dengan saudara-saudaranya, dan semua orang yang mengikuti dia untuk pengebumian bapanya.
15. Setelah bapa mereka meninggal, saudara-saudara Yusuf berkata, “Bagaimanakah sekiranya Yusuf masih berdendam dan mahu membalas kejahatan kita dahulu?”
16. Oleh itu mereka mengirim pesan ini kepada Yusuf, “Sebelum bapa kita meninggal,
17. dia menyuruh kami mengatakan hal ini kepadamu, ‘Ampunkanlah kesalahan yang dahulu dilakukan saudara-saudaramu terhadapmu.’ Oleh itu, sebagai hamba-hamba Allah yang disembah oleh bapa kita, kami mohon, ampunkanlah kesalahan yang sudah kami lakukan.” Yusuf menangis ketika menerima pesan itu.
18. Kemudian saudara-saudaranya sendiri datang dan sujud di hadapannya. Mereka berkata, “Kami ini hamba tuan.”
19. Tetapi Yusuf berkata kepada mereka, “Jangan takut, kerana aku tidak dapat bertindak sebagai Allah.