Kejadian 45:8-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Oleh itu, sebenarnya bukan kamu yang menyebabkan aku berada di sini, melainkan Allah. Dia sudah menjadikan aku pegawai tertinggi raja Mesir. Aku diberi kuasa mengurus segenap rumah tangganya dan seluruh negeri Mesir.

9. Sekarang, kembalilah dengan segera kepada bapaku dan katakanlah kepadanya bahawa Yusuf, anaknya, berkata begini, ‘Allah sudah menjadikan saya penguasa seluruh Mesir; datanglah kepada saya dengan segera.

10. Ayah dapat tinggal di daerah Gosyen, berhampiran dengan saya – ayah, bersama dengan anak cucu, domba, kambing, lembu, dan segala kepunyaan ayah.

11. Jika ayah berada di Gosyen, saya dapat menjaga ayah. Kebuluran masih akan berlaku lima tahun lagi, dan akan saya usahakan agar ayah, keluarga, serta ternakan ayah tidak kekurangan apa-apa pun.’ ”

12. Yusuf berkata lagi, “Sekarang kamu nampak sendiri, termasuk engkau Benyamin, bahawa aku benar-benar Yusuf.

13. Katakanlah kepada ayah kita betapa besarnya kuasaku di sini, di Mesir, dan ceritakanlah segala yang sudah kamu nampak kepadanya. Bawalah dia ke sini dengan segera.”

14. Yusuf memeluk adiknya Benyamin dan menangis. Benyamin juga menangis sambil memeluk abangnya.

15. Kemudian sambil menangis, Yusuf memeluk semua saudaranya dan mencium mereka. Selepas itu mereka mula bercakap-cakap dengan dia.

16. Apabila berita kedatangan saudara-saudara Yusuf sampai di istana raja, raja dan para pegawainya pun senang hati.

17. Oleh itu raja bertitah kepada Yusuf, “Suruhlah saudara-saudaramu memuati keldai mereka dengan gandum, dan pulang ke Kanaan

18. untuk membawa bapa serta keluarga mereka ke sini. Beta akan memberikan tanah yang terbaik di Mesir kepada mereka, dan mereka akan dapat hidup dengan berkecukupan daripada hasil tanah itu.

19. Suruhlah mereka membawa beberapa buah pedati dari sini untuk isteri serta anak-anak mereka yang masih kecil, dan untuk membawa bapa mereka ke sini.

20. Mereka tidak perlu memikirkan barang-barang yang terpaksa mereka tinggalkan, kerana yang terbaik di seluruh Mesir akan menjadi kepunyaan mereka.”

Kejadian 45