Kejadian 44:8-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Tuan pun tahu bahawa wang yang kami dapati di atas gandum di dalam karung kami, sudah kami bawa dari tanah Kanaan dan kami kembalikan kepada tuan. Oleh itu tidak mungkin kami mencuri perak atau emas dari rumah gabenor!

9. Tuan, sekiranya salah seorang daripada kami didapati mempunyai benda itu, biarlah dia dihukum mati dan kami semua menjadi abdi tuan.”

10. Hamba itu berkata, “Baiklah, tetapi hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku; yang lain boleh pergi.”

11. Oleh itu dengan cepat mereka menurunkan dan membuka karung masing-masing.

12. Hamba Yusuf itu memeriksa karung-karung itu dengan teliti, mulai dari karung kepunyaan yang sulung sampai kepada karung kepunyaan yang bongsu. Piala itu didapati di dalam karung Benyamin.

13. Abang-abang Benyamin sangat sedih sehingga mereka mengoyakkan pakaian. Mereka memuati semula keldai lalu kembali ke kota.

14. Yusuf masih ada di rumah apabila Yehuda dan saudara-saudaranya sampai. Mereka bersujud di hadapannya,

15. lalu Yusuf berkata, “Apakah yang sudah kamu lakukan? Tidak tahukah kamu bahawa orang seperti aku ini pandai meramal dan dapat mengetahui perbuatan kamu?”

16. Yehuda menjawab, “Apakah yang dapat kami katakan, tuan? Bagaimana kami dapat membantah dan membela diri? Allah sudah mendedahkan kesalahan kami. Sekarang kami semua menjadi abdi tuan, dan bukan hanya orang yang didapati mempunyai piala itu.”

17. Yusuf berkata, “Tidak! Aku tidak mahu berbuat begitu! Hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku. Kamu yang lain boleh pulang dengan selamat kepada bapa kamu.”

18. Yehuda maju mendekati Yusuf dan berkata, “Tolonglah, tuan. Benarkanlah saya berkata lagi. Janganlah marah kepada saya; tuan seperti raja Mesir sendiri.

19. Tuan sudah bertanya kepada kami, ‘Adakah kamu masih mempunyai bapa atau adik lelaki lain?’

20. Kami menjawab, ‘Bapa kami sudah tua dan adik kami dilahirkan ketika bapa kami telah lanjut usia. Abang seibu adik kami itu sudah meninggal, lalu sekarang hanya dia yang masih hidup, dan ayah sangat menyayangi dia.’

21. Tuan menyuruh kami membawa dia ke sini supaya tuan dapat melihatnya,

22. lalu kami menjawab bahawa anak itu tidak dapat berpisah daripada bapanya; jika dia berpisah daripadanya, bapanya akan meninggal.

Kejadian 44