Kejadian 44:18-33 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

18. Yehuda maju mendekati Yusuf dan berkata, “Tolonglah, tuan. Benarkanlah saya berkata lagi. Janganlah marah kepada saya; tuan seperti raja Mesir sendiri.

19. Tuan sudah bertanya kepada kami, ‘Adakah kamu masih mempunyai bapa atau adik lelaki lain?’

20. Kami menjawab, ‘Bapa kami sudah tua dan adik kami dilahirkan ketika bapa kami telah lanjut usia. Abang seibu adik kami itu sudah meninggal, lalu sekarang hanya dia yang masih hidup, dan ayah sangat menyayangi dia.’

21. Tuan menyuruh kami membawa dia ke sini supaya tuan dapat melihatnya,

22. lalu kami menjawab bahawa anak itu tidak dapat berpisah daripada bapanya; jika dia berpisah daripadanya, bapanya akan meninggal.

23. Kemudian tuan berkata, ‘Kamu tidak boleh menghadap aku lagi jika tidak membawa adik bongsu kamu.’

24. Apabila kami kembali kepada bapa kami, kami sampaikan kata-kata tuan itu kepadanya.

25. Kemudian bapa kami menyuruh kami datang lagi ke sini untuk membeli makanan.

26. Kami menjawab, ‘Kami tidak dapat pergi ke sana, kerana kami tidak boleh menghadap gabenor jika adik kami yang bongsu tidak ikut. Kami hanya dapat pergi jika dia ikut bersama dengan kami.’

27. Kemudian bapa kami berkata, ‘Kamu tahu bahawa isteriku Rahel, hanya mempunyai dua orang anak lelaki.

28. Seorang sudah meninggalkan aku. Dia tentu telah diterkam binatang buas, kerana sejak itu aku tidak bertemu dengan dia lagi.

29. Jika kamu mengambil anak bongsu ini daripadaku, dan sekiranya ada sesuatu perkara berlaku kepadanya, kesedihan yang kamu datangkan kepadaku itu akan mengakibatkan kematianku, kerana aku sudah tua.’ ”

30-31. Yehuda berkata kepada Yusuf, “Oleh itu, jika saya kembali kepada bapa saya tanpa anak itu, tentu bapa saya akan meninggal. Nyawanya bergantung kepada anak itu, dan dia sudah sangat tua sehingga kesedihan yang kami datangkan kepadanya akan mengakibatkan kematiannya.

32. Lagipun, saya sudah berjanji kepada bapa saya bahawa saya akan menjadi penjamin anak itu. Saya berkata kepadanya bahawa jika saya tidak membawa anak itu kembali kepadanya, sayalah yang akan menanggung kesalahan itu selama-lamanya.

33. Oleh itu, saya mohon supaya dibenarkan tinggal di sini sebagai abdi tuan untuk menggantikan anak ini. Biarlah dia pulang bersama dengan abang-abangnya.

Kejadian 44