Kejadian 44:18-29 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

18. Yehuda maju mendekati Yusuf dan berkata, “Tolonglah, tuan. Benarkanlah saya berkata lagi. Janganlah marah kepada saya; tuan seperti raja Mesir sendiri.

19. Tuan sudah bertanya kepada kami, ‘Adakah kamu masih mempunyai bapa atau adik lelaki lain?’

20. Kami menjawab, ‘Bapa kami sudah tua dan adik kami dilahirkan ketika bapa kami telah lanjut usia. Abang seibu adik kami itu sudah meninggal, lalu sekarang hanya dia yang masih hidup, dan ayah sangat menyayangi dia.’

21. Tuan menyuruh kami membawa dia ke sini supaya tuan dapat melihatnya,

22. lalu kami menjawab bahawa anak itu tidak dapat berpisah daripada bapanya; jika dia berpisah daripadanya, bapanya akan meninggal.

23. Kemudian tuan berkata, ‘Kamu tidak boleh menghadap aku lagi jika tidak membawa adik bongsu kamu.’

24. Apabila kami kembali kepada bapa kami, kami sampaikan kata-kata tuan itu kepadanya.

25. Kemudian bapa kami menyuruh kami datang lagi ke sini untuk membeli makanan.

26. Kami menjawab, ‘Kami tidak dapat pergi ke sana, kerana kami tidak boleh menghadap gabenor jika adik kami yang bongsu tidak ikut. Kami hanya dapat pergi jika dia ikut bersama dengan kami.’

27. Kemudian bapa kami berkata, ‘Kamu tahu bahawa isteriku Rahel, hanya mempunyai dua orang anak lelaki.

28. Seorang sudah meninggalkan aku. Dia tentu telah diterkam binatang buas, kerana sejak itu aku tidak bertemu dengan dia lagi.

29. Jika kamu mengambil anak bongsu ini daripadaku, dan sekiranya ada sesuatu perkara berlaku kepadanya, kesedihan yang kamu datangkan kepadaku itu akan mengakibatkan kematianku, kerana aku sudah tua.’ ”

Kejadian 44